anuar.kari@utusan.com.my

SETELAH 37 tahun dan tiga bulan berkhidmat dalam perkhidmatan awam, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Abdullah Morad, 58, akhirnya bersara pada 1 Mei lalu. Memegang jawatan Ketua Pengarah ke-15 sejak 14 Mac 2005, beliau memulakan kerjaya di sektor awam pada usia 21 tahun pada 2 Februari 1974.
Ketika temu ramah terakhir beliau dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, Abdullah mengimbas pengalaman bermula dari bawah di Jabatan Penerangan termasuk persepsi umum tentang populariti jabatan itu berbanding jabatan kerajaan lain.
"Tahun pertama saya bekerja di jabatan ini, negara berada di ambang pilihan raya umum, nama BN baru diperkenalkan dan pelaksanaan kempen anti sorok rancak digerakkan.
"Jabatan ini diberi tugas menjelaskan penukaran nama Perikatan kepada Barisan Nasional (BN) serta membuat kempen menentang aktiviti menyorok barang berikutan inflasi," katanya.
Jelasnya, fungsi jabatan itu adalah untuk memberi publisiti atau promosi program kerajaan supaya rakyat faham seterusnya menyokong program tersebut.
"Dulu kami dikenali sebagai 'Jabatan Serombong' kerana sampaikan maklumat guna serombong dan wayang pacak.
"Kini cara penyampaiannya sudah berubah. Perubahan sentiasa berlaku kerana bergantung kepada perkembangan semasa dan kehendak rakyat," ujarnya.
Menurut Abdullah, jabatan itu dahulu tiada saingan sumber maklumat lain berbanding sekarang. Kini jelasnya, banyak sumber maklumat alternatif yang menyampaikan maklumat tetapi masih gagal mengatasi tugas Jabatan Penerangan untuk memberi penjelasan tentang maklumat berkenaan.
"Pendekatan kami juga telah melalui perubahan ketara, mengubah suai aktiviti dan program mengikut kelompok sasar tetapi tetap mengekalkan kaedah teras iaitu komunikasi bersemuka secara langsung dengan masyarakat," tegasnya.
Antara program yang dijalankan di bawah kepimpinan beliau adalah 'Kembali Ke Desa' di mana individu yang telah berjaya berkongsi kisah mereka bersama generasi muda di kampung asal masing-masing.
Program ini memberi peluang anak muda kampung berkongsi pengalaman era awal kemerdekaan dan menjelaskan komitmen kerajaan dalam memberi keselesaan kepada rakyat.
"Program ini untuk berkongsi kisah kejayaan dasar dan program kerajaan dalam membangunkan negara dan menjadikan pegawai atau individu yang berjaya sebagai ikon penduduk kampung.
"Kita mahu rakyat berbangga dan kita juga mahu mereka menghayati serta tidak melupakan kemakmuran hasil program-program pembangunan kerajaan," jelasnya.
Tambahnya, beberapa tokoh yang berjaya dengan bantuan kerajaan dari pelbagai sektor dan industri juga telah dikenal pasti untuk menyertai program tersebut.
Selain itu, satu lagi program dikenali sebagai 'Dari Hati ke Hati' juga bakal dilancarkan tidak lama lagi untuk menyelami pemikiran rakyat agar masalah mereka boleh diketengahkan untuk diselesaikan oleh pihak-pihak berwajib.
Melihat trend semasa, Abdullah mengakui golongan muda kini lebih cenderung ke arah media baru seperti blog, Facebook, Twitter dan sebagainya.
"Seiring dengan perkembangan itu kita juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan media baru dengan mewujudkan Fanpage Jabatan Penerangan Malaysia di Facebook, portal maklumat dikenali sebagai 1Klik (http://pmr.penerangan.gov.my) dan kira-kira 100 pegawai penerangan juga mempunyai blog sendiri.
"Portal 1Klik yang menyampaikan maklumat kepada rakyat telah dilayari lebih lapan juta individu, 17, 410 orang pengikut dalam Facebook sementara Pejabat Penerangan Daerah menjadi pusat sehenti maklumat kerajaan," katanya.
Menurutnya lagi, kemudahan yang disediakan bukan sahaja untuk menyampai dan menjelaskan maklumat kepada rakyat malahan untuk berinteraksi bersama rakyat. Walaupun meningkatkan aplikasi media baru, Abdullah menegaskan kepentingan komunikasi bersemuka terus diutamakan.
Hakikat itu katanya, dapat disaksikan dalam program-program walkabout yang diamalkan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya sewaktu turun padang bersama rakyat.
"Perdana Menteri mahu kita mendahulukan kehendak dan suara rakyat, beliau mahu tahu denyut nadi rakyat dan bertanya apa difikirkan mereka.
"Untuk itu, kita cuba seimbangkan antara aplikasi komunikasi moden dengan pendekatan bersemuka dengan masyarakat untuk memberi penjelasan dan mendapatkan pandangan," jelasnya.
Jabatan itu katanya, umpama jambatan dua hala antara rakyat dan kerajaan dan perlu melancarkan penyampaian maklumat dan maklum balas kepada kedua-dua belah pihak. Oleh itu tegas Abdullah, Jabatan Penerangan kekal relevan sebagai satu wadah kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan maklum balas rakyat kepada kerajaan.
Berhubung isu populariti jabatan tersebut yang dikatakan kurang menonjol berbanding jabatan kerajaan lain, Abdullah menegaskan pengisian lebih penting daripada populariti.
"Populariti tidak menjadi fokus kami berbanding tugas memberi penjelasan kepada rakyat," tegasnya.
Abdullah menjelaskan, Jabatan Penerangan kini sedang menjalin kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan maklumat dapat disebarluaskan dengan cara yang lebih berkesan.
Mengupas perancangan selepas bersara, Abdullah menyatakan tiada rancangan jangka pendek kecuali untuk berehat beberapa bulan bersama keluarga dan cucu-cucunya.
"Saya mahu berehat dahulu selepas ini, kemudian mungkin akan ke bidang pertanian untuk menguruskan ladang sawit kecil bersama ternakan beberapa ekor lembu. Ini juga seperti kempen kerajaan yang telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bantuan untuk rakyat, jadi saya pun nak cuba," ujarnya.
Pesanan akhir untuk kakitangan Jabatan Penerangan, beliau berharap mereka memberikan sokongan padu dan kerjasama kepada kepimpinan baru demi kesinambungan kerja-kerja jabatan tersebut kelak.